Khasiat air kelapa
Kategori : Media

Berita Harian

Khamis, 29/08/2012


Oleh Nor Hatina Shuib


Ketika cuaca panas, minum air kelapa memang melegakan. Selain pelepas dahaga, air kelapa juga dimanfaatkan sebagai ubat pelbagai penyakit.


Sejak dulu, minum air kelapa dijadikan amalan kerana dianggap ubat mujarab membantu mengurangkan demam campak selain berfungsi menurunkan suhu badan dengan cepat.


Lebih istimewa, air kelapa boleh dimanfaatkan untuk bahan perubatan tradisional dan perawatan kecantikan. Bagi rawatan tradisional pula, ia adalah ubat berkesan untuk membasmi pelbagai jenis cacing dalam usus, diminum pada sebelah pagi sebelum makanan lain diambil.


Hasil kajian mendapati air kelapa yang diminum kaya dengan potasium (kalium). Selain mineral, air kelapa juga mengandungi gula antara 1.7 hingga 2.6 peratus dan protein 0.07 hingga 0.55 peratus.


Buah ajaib


Di Filipina, air kelapa lebih kepada proses pembuatan minuman alkohol, cuka, nata de coco dan jelly manakala di negara kita, air kelapa digunakan untuk minuman dan bahan asas pembuatan nata de coco.


Kelapa atau nama saintifiknya Cocos nucifera turut dikenali Wonder Food.


Ia dipanggil begitu disebabkan banyak kandungan nutrisi di dalam buah kelapa yang diperlukan tubuh.


Di beberapa negara, kelapa dikaitkan dengan mitos buah ajaib. Penganut Hindu memanggil kelapa sebagai pokok syurga kerana dipercayai dapat membawa kekuatan, kesihatan dan umur panjang.


Kandungan gula dalam air kelapa senang diserap tubuh berbanding gula jenis lain.


Malah sebiji kelapa cukup untuk memenuhi keperluan Vitamin C seharian, selain membantu mengawal penyakit diabetes.


Ahli Persatuan Dietetik Amerika, Andrea Giancol RD, berkata kandungan kalium yang tinggi dalam air kelapa membantu menurunkan tekanan darah dan meningkatkan kesihatan jantung.


Namun, katanya, walaupun begitu berkhasiat, perlu juga mengambil sumber tambahan lain seperti sayur dan buah.


INFO: Antara fakta dan mitos


Fakta


Air kelapa dapat menjadi penawar sementara tubuh beracun – Air kelapa mampu melarutkan racun dalam perut, namun ia bersifat sementara.


Minuman air kelapa awet muda – Air kelapa mengandungi vitamin C yang baik untuk kesegaran kulit.


Mitos


Air kelapa membuat badan lemah – Air kelapa mengandungi nutrisi karbohidrat, asam amino, vitamin dan ion yang memberi tenaga.


Minum air kelapa akan mempercepatkan kelahiran bayi – Hingga kini belum ada bukti saintifik berkenaan dakwaan ini. Bagaimanapun, ia berkhasiat untuk ibu hamil dan janin kerana mengandungi zat gizi.


Lelaki minum air kelapa lemah syahwat – Secara umumnya masalah berkenaan disebabkan faktor tekanan dan sebagainya.


Air kelapa penyebab sakit jantung – Air kelapa mengandungi kalium yang dapat membantu menurunkan tekanan darah dan meningkatkan kesihatan jantung.


Jangan minum air kelapa ketika diet – Kajian mendapati air kelapa tidak menyebabkan kegemukan kerana yang membuatkan kegemukan adalah santan dan isi kelapa.


Ibu hamil bagus minum air kelapa untuk kesuburan rambut – Hamil atau tidak, minum air kelapa memang menyegarkan.